Content on this page requires a newer version of Adobe Flash Player.

Get Adobe Flash player

DOWNLOAD POSTER

 

Matahati tampilkan kehidupan dalam seni
Oleh ABD. AZIZ ITAR


http://www.utusan.com.my/pix/2008/0310/utusan_malaysia/Sastera/sa_02_big.jpg

BAYU Utomo Radjikin bersama lukisannya, Geneva Blues 2007.


ARKIB : 10/03/2008
PENGKRITIK seni, Jonathan Arac mengatakan `pelukis adalah manusia-manusia genius’ yang mampu melontar serta mengupas pelbagai persoalan. Bermula dengan pergolakan peribadi hingga ke ruang global.Ini kerana seni, kehidupan, persekitaran dan pemikiran adalah mata rantai yang sukar untuk dipisahkan. Setiap satu seakan-akan saling berhubung sesama sendiri.Seni antara lain memberitahu dunia akan keakraban mereka berjuang atas nama kehidupan dan seluruh persoalan yang berada di sekitarnya yang tidak pernah mempunyai noktah.Oleh itu, pelukis akan terus mengupas dan membongkar kehidupan memang akan terus berjalan tanpa sempadan masa. Namun, ia bergantung kepada kemampuan visual dan kreativiti seseorang pelukis menterjemahkan sebagai karya tampak.
Justeru, seni boleh diibaratkan sebagai sahabat sejati yang begitu setia. Ia mampu untuk memberitahu seisi maya ini tentang apa juga yang telah, sedang dan akan berlaku menerusi ruang-ruang visualnya.
Ruang seni yang pelbagai merangkumi sama ada catan, pertukangan dan sebagainya boleh dijadikan sebagai landasan tersebut. Rangkuman keakraban itulah yang cuba diterjemahkan oleh lima pelukis kumpulan Matahati menerusi pameran bersama, Seni & Kehidupan Kontemporari Malaysia.
Lima pelukis yang mengambil bahagian pada pameran tersebut iaitu Ahmad Fuad Osman, Ahmad Shukri Mohamed, Bayu Utomo Radjikin, Hamir Soib dan Masnoor Ramli Mahmud.Pameran tersebut berlangsung di The Annexe Gallery, Pasar Seni, Kuala Lumpur dari 29 Februari lalu hingga 15 Mac ini.Mereka tampil dengan karya-karya yang mencerminkan isi hati dan pemerhatian masing-masing dengan menyelami tema-tema politik, kemanusiaan dan kesejagatan.Hamir Soib misalnya, menggunakan hampas tebu sebagai elemen utama sebagai saluran untuk menggambarkan pandangannya dalam karyanya Sepah 2005-2008.
Tahun digunakan pada judul itu bagi menggambarkan masa yang diambil untuk menyudahkan karya tersebut.
ObjekHampas yang dipintal dengan dawai dan hampir menyerupai objek manusia menggambarkan tentang kekeringan jiwa yang melanda manusiawi pada hari ini.“Karya ini senada dengan peribahasa ‘habis madu sepah dibuang’. Selain itu, saya mahu menggambarkan tentang kehidupan kita sekarang ini yang kering daripada segi spiritual.“Hampas tebu itu sendiri membawa simbolik yang boleh dikaitakan dengan nilai tersebut,” katanya yang mendapat ilham itu ketika bulan Ramadan dua tahun lalu.
Selain unsur ketandusan jiwa, pameran ini turut mengetengahkan kerakusan manusia yang gagal memulihara alam ciptaan Tuhan.Ahmad Shukri pula menggunakan subjek rama-rama bagi mendedahkan kebimbangannya tentang pesekitaran yang kian terancam oleh aktiviti pembangunan.
Beliau mencerna segala upaya pancainderanya bagi menyampaikan mesej melalui lukisannya yang berjudul Tribute To Butterfly VI 1998.Anak kelahiran Kelantan itu menggunakan rasa kepekaannya itu ketika pulang bercuti di kampungnya tidak lama dulu.
“Idea melukis karya ini atas pemerhatian saya ketika melalui jalan antara Gua Musang dan Kuala Lipis. Laluan yang saya lalui selama bertahun-tahun itu semakin lama semakin berubah. Ada satu tempat itu, suatu ketika dulu banyak rama-rama.
“Tetapi kini ia semakin pupus kerana banyak faktor, antaranya pembangunan. Saya gunakan rama-rama sebagai simbol atas ketiadaannya kerana kerakusan pembangunan,” ujarnya.
Karya Shukri memperlihatkan seekor rama-rama gergasi yang hanya dapat dilihat dengan jelas melalui pandangan jauh. Namun, ribuan rama-rama kecil yang memenuhi ruang kanvas itu seolah-olah menyatukan mereka menjadi seekor rama-rama gergasi.
Masnoor Ramli Mahmud menggunakan wang dolar Amerika sebagai objek untuk mendedahkan tentang elemen kemanusiaan di Kemboja.
Menurutnya, wang kertas satu dolar itu simbolik yang mencerminkan tentang nilai kehidupan yang masih dikuasai matawang tersebut.
“Selain dolar yang menjadi matawang popular di kalangan pelancong asing di sana, objek dua kanak-kanak paling mencerminkan situasi itu.
“Kanak-kanak jalanan mencerminkan tentang nilai kehidupan di sana yang masih berada ditahap kemiskinan,” katanya menerusi karyanya yang berjudul One Dollar One Dollar itu.
Gambar dua kanak-kanak Kemboja pada karyanya itu diambilnya ketika berada di negara tersebut tahun lalu. Ia secara langsung merupakan intepretasi tentang kemiskinan dan krisis kemanusiaan.
“Saya masih teringat tentang dua kanak-kanak itu yang menjual pisang dan menjerit kepada para pelancong asing ‘one dollar, one dollar’ kerana mahu menjual pisang,” ceritanya.
Malah, dia juga mahu memberi tahu tentang kebergantungan Kemboja terhadap dolar Amerika biarpun negara itu tidak lagi dijajah oleh negara Polis Dunia tersebut.
Sementara itu, Bayu Utomo Radjikin pula misalnya cuba mengetengahkan tentang sejarah dunia yang mungkin boleh diperbaiki pada masa depan.
Does History Change? merupakan gambar terkenal yang diambil ketika era kekejaman Regim Khmer Rouge di Vietnam. Bagaimanapun, beliau melihatnya itu menerusi persepsi barunya yang lebih positif dan segar.
Beliau mengambil sisi keamanan dengan menokok tambah menjadikan objek ditengah sebagai simbol kejayaan atas kekejaman yang sia-sia itu.
Gambar itu asalnya disiarkan melalui majalah Times. Tapi saya ubahkan persepsi tragedi di sebalik gambar itu menjadi sebaliknya dan membaca keterangan gambarnya tetapi kebenaran di sebalik gambar itu tiada siapa yang tahu.
“Hanya pengambil gambar dan penulis keterangan gambar itu sahaja yang lebih tahu. Mesej saya di sini ialah apakah kesahihan mutlak yang kita tahu tentang sesuatu peristiwa itu?” tanyanya.
Sesungguhnya Arac benar. Pelukis adalah ‘manusia-manusia genius’ yang membongkar segenap persoalan dengan bijak, penuh daya kreativiti dan sentiasa melontar pendapat yang baru.